ISTIQAMAH
1. Makna Istiqamah
Terdapat beberapa makna yang membawa maksud yang sama:
a. Makna bahasa: berdiri tegak tanpa condong ke kiri atau ke kanan
Makna istilah: Melazimkan diri di atas jalan yang lurus/betul dengan mentaati perintah dan larangan Allah berdasarkan ilmu pengetahuan yang diperolehi dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw
b. Istiqamah bererti menjalani jalan yang lurus (Al-Sirat al-Mustaqim). Jalan ini ialah agama yang lurus tanpa sebarang liku-likunya atau condong ke kiri dan ke kanan, dan meliputi segala perbuatan taat yang zahir dan yang batin, juga meninggalkan segala larangan.
c. Orang yang beriman yang tetap dalam keadaan yang betul dan benar, tidak berubah atau bergoncang oleh sesuatu hal atau suatu pengaruh yang mendatang. Ia tetap memelihara iman dan keyakinannya, tetap beramal menurut perintah, tidak bermuka dua bercabang lidah dalam menghadapi suatu keadaan.
2. Ayat-ayat Quran berkaitan Istiqamah:
a. Fusilat 41: 30-32
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa kesemasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kami berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh -- pada hari akhirat--apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh --pada hari itu--apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.
"(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!"
Ayat dalam surah Fussilat 41: 30-32 menerangkan makna istiqamah dalam ketaqwaan. Ayat-ayat ini di analisis kepada 3 bahagian: i. Sebab--Tuhan kami ialah Allah ii. Akibat--Istiqamah--tetap teguh di atas jalan yang betul/benar iii. Natijah/Hasil--Kebaikan diturunkan--Malaikat turun membawa berita gembira: mereka beroleh syurga; malaikat sebagai penolong mereka di dunia dan akhirat; dapat segala yang diingini; dan menyaksikan wajah Allah
b. Al-Ahqaf 46: 13:
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
c. Hud 11 : 112
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
3. Keutamaan Istiqamah
a. Mendapat ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat--tiada kebimbangan dan kesedihan. Hal ini dinyatakan dalam surah Fussilat 41: 30 dan surah Al-Ahqaf 46: 13. Penyakit qalbu manusia adalah kebimbangan/ketakutan akan masa depan dan kesedihan akan peristiwa masa lalu.
Istiqamah di dunia adalah satu jalan pendakian yang penuh dengan ujian, kepayahan dan pelbagai rintangan; dan perjalanan ini sangat sukar dan meletihkan. Untuk melalui perjalanan yang penuh ujian dan pelbagai rintangan ini perlu kepada hati yang tenang. Allah buangkan rasa ketakutan dan kesedihan dari orang-orang yang beristiqamah di jalanNya--inilah kebahagiaan sebenar--hati yang tenang!
b. Merujuk lagi kepada surah Fussilat 41: 30 berkaitan turunnya malaikat. Malaikat akan turun kepada manusia semasa i. di dunia--semasa sakaratul maut-->mata orang yang sedang sakarat akan menyaksikan kehadiran malaikat sehingga keluar peluh di dahi ii. di akhirat--semasa bangkit dari kubur. Bagi orang yang istiqamah, malaikat akan menyambutnya dengan kenderaan istimewa untuk dibawa ke pintu syurga. Mereka redha dengan syurga Allah, dan yang lebih tinggi lagi redhanya adalah menghadap Allah dengan berpasuk-pasukan (Maryam 19: 85)--(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk menghadap (Allah) Ar Rahman, dengan berpasuk-pasukan .
Orang-orang yang bertaqwa mempunyai hubungkait dengan orang-orang yang istiqamah. Perkataan-perkataan dalam Quran seperti muslimin, mukminin, muttaqin, mukhlisin -- semuanya ada hubungkait walaupun maknanya berbeza.
c. Orang yang istiqamah akan mendapat rezeki yang melimpah ruah dari Allah seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Jinn 72: 16 -- Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), nescaya Kami akan mencurahkan kepada mereka air yang cukup. Air di sini bermaksud rezeki yang banyak--melimpah ruah.
c. Hadis sahih dari Zaid bin Thabit: Siapa yang mengejar dunia--dunia menjadi tujuan hidupnya-- Allah akan cerai beraikan urusan mereka, dan Allah akan jadikan kefakiran dihadapan matanya. Siapa yang akhirat menjadi tujuan hidupnya--istiqamah di jalan Allah-- maka Allah akan merapikan segala urusannya. Dunia akan mendatanginya dan Allah jadikan kekayaan dalam dirinya.
d. Hadis sahih (hadis 40 yg ke 21) dari Safwan bin Abdullah: Ya Rasulullah! Katakan kepadaku tentang Islam satu perkataan yang tidak akan aku tanyakan lagi daripadanya akan seorang yang lain daripada engkau. Sabda Rasulullah: Katakanlah, aku beriman kepadaAllah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah--HR Muslim
4. Bagaimana Merealisasikan Istiqamah
Tiga cara untuk merealisasikan istiqamah:
a. Perkataan
Segala yang dikatakan hendaklah yang benar dan baik sahaja.
Contoh: Kaab bin Malik yang berkata benar ketika memberikan sebab tidak turut berperang (Perang Tabuk)
Tidak benar ungkapan --"dia tu mulut je jahat, tapi hati baik"-- apa yang keluar dari lisan adalah cerminan hati seseorang!
b. Perbuatan
Segala ibadah dilakukan mengikut sunnah Rasulullah saw (Ittiba' Rasul). Sunnah Rasulullah ialah jalan Rasulullah, jalan yang diikuti oleh para sahabatnya dan oleh umat Islam yang mencintai syariat Allah. Jalan inilah yang diwajibkan diikuti oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya. Jalan ini jalan Allah yang diterangkan dalam Al-Quran. Hadis sahih (Hadis 40 yang ke 28)--"...Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah al-Rasyidin al-Mahdiyyin (yang mengetahui kebenaran dan mengikutinya, yang mendapat pimpinan ke jalan yang betul) dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu.... HR Abu Dawud dan Tirmizi
c. Keadaan
Suasana jiwa yang dibaluti keikhlasan.
Ikhlas adalah syarat diterimanya amal soleh yang dilaksanakan sesuai dengan sunnah Rasulullah saw. Ikhlas ertinya memurnikan tujuan bertaqarrub kepada Allah swt dari hal-hal yang mengotorinya--menjadikan Allah swt sebagai satu-satunya tujuan dalam segala bentuk ketaatan."
Fudhail berkata, "Meninggalkan suatu amal kerana orang lain adalah riya'. Sedangkan beramal kerana orang lain adalah syirik. Adapun ikhlas adalah ketika Allah swt menyelamatkanmu dari keduanya".
Syarat realisasi Istiqamah: Kelurusan dalam: Iman-->Qalbu -->Lisan-->Anggota Badan
Rujukan:
1. Nota Syawal--Memaknai ketaqwaan selepas Ramadhan --Dr Sholihah Kaswari
2. Hadith 40: Terjemahan dan Syarahan oleh Mustafa 'Abdul Rahman
3. Tazkiyatun Nafs: Konsep penyucian jiwa menurut Ulama Salafushalih oleh Ibnu Rajab Al-Hambali, Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah dan Imam Al-Ghazali
Penyakit qalbu manusia--ketakutan akan masa depan, kesedihan akan masa lalu
ReplyDelete