Thursday 26 April 2018

TAQWA


KONSEP TAQWA PERSPEKTIF AL-QURAN

Rujukan:

 1.  Kuliah dan Bengkel berkaitan Taqwa oleh Ustazah Dr Sholihah Kaswari
 2.  Konsepsi taqwa perspektif Al-Quran/Prof Dr H. Nashruddin Baidan

Pengenalan

Al-Quran adalah kitab pegangan orang-orang  Islam.  Isi kandungannya adalah panduan cara hidup Islam yang tidak ada kesilapan lansung kerana ianya dari Allah--Pencipta kita.  Hanya manusia sahaja yang selalu tidak bersedia untuk menerima petunjukNya.

Perkataan Taqwa dalam al-Quran

Terdapat 242 ayat di dalam al-Quran yang mempunyai terminologi perkataan taqwa.  Dari jumlah tersebut, 134 ayat turun di Madinah dan 108 ayat turun di Makkah.  Timbul persoalan--kenapa lebih banyak ayat berkaitan taqwa turun di Madinah?  Jawapannya:  Perkataan taqwa dalam ayat yang turun di Makkah adalah berkaitan teori/konsep taqwa, sedangkan yang turun di Madinah berkaitan applikasi/praktikal kepada maksud taqwa--juga menerangkan ciri-ciri orang yang bertaqwa.

Ciri-ciri orang yang bertaqwa jelas dalam surah al-Baqarah: 1-5

1.  Beriman kepada yang ghaib
a.  Ghaib terbahagi 2:  i. Ghaib Haqiqi--tidak mungkin ditangkap oleh deria manusia cth. melihat zat Allah  ii. Ghaib Nisbi--boleh dijangkau oleh akal manusia melalui penyelidikan sains  cth. melihat janin menggunakan alat pengimbas

2.  Mendirikan solat 
a. Mendirikan solat adalah berbeza maknanya dengan mengerjakan solat
b.  Orang yang mendirikan solat mempunyai akhlak yang baik -- mendapat hidayah hasil dari solat yang didirikan dengan penuh khusyuk
c.  Orang yang mengerjakan solat -- tidak mendapat hidayah kerana solat yang dikerjakan hanya setakat menunaikan tanggungjawab atau terpaksa--solat tidak dilakukan dengan sempurna
d.  Solat adalah hubungan manusia dengan Allah

3.  Infak
a.  Infak adalah hubungan manusia dengan manusia
b.  Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menggalakkan manusia berinfak
c.  Berinfak boleh menyucikan hati manusia
d.  Bila kita berinfak sebenarnya adalah untuk menyucikan diri dan harta kita, bukan kerana orang lain memerlukan harta kita

4.  Beriman kepada Kitab
a.  Menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup
b.  Sunguh-sungguh mempelajari, mentadaburi, mengamalkan segala suruhan dalam al-Quran

5.  Yakin dengan Hari Akhirat
a.  Keyakinan yang dibimbing oleh ilmu, bukan hanya setakat ikut-ikutan
b.  Yakin kita akan dibangkitkan semula dan dihisab segala amalan
c.  Keyakinan ini akan menyelamatkan kita dari melakukan memungkaran


Ayat-ayat berkaitan taqwa di dalam al-Quran boleh dibahagikan kepada 4 kategori:

A.  Nominal--Jumlah Ismiyyah   (nama) 
B.  Imparatif--Fi'il Ammar dan Fi'il Nahi  (suruhan dan larangan)
C.  Verbal--Jumlah Fi'liyyah   (perbuatan)
D.  Interogatif--Jumlah Istifham  (soalan)


A. AYAT KATEGORI NOMINAL

Di dalam kategori Nominal terdapat 91 ayat berkaitan taqwa.  Melalui pengambilan sampel sebanyak 10 ayat (10%) maka berikut disenaraikan 8 topik perbincangan:

i.  Taqwa wilayah Illahiyyah 
a.  Hanya Allah yang berhak menganugerahkan ketaqwaan kepada hambaNya
b.  Hanya Allah yang mengetahui tahap ketaqwaan hambaNya.  ...Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa  (at-Taubah: 44)
c.  Oleh itu kita tidak perlu menunjukkan atau menceritakan kebaikan kita kepada orang lain--Allah maha mengetahui segala amalan kita

ii.  Taqwa wadah hidayah
a.  Kita perlu membersihkan hati supaya dapat menerima hidayah dari Allah...Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya...menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa (al-Baqarah:2)
b.  Hati adalah merupakan wadah untuk menampung hidayah
c.  Ada 4 jenis hati (ibarat bekas untuk menadah air):  i. bekas yang bocor  ii.  bekas yang tertutup  iii. bekas yang kotor  iv. bekas yang tidak bocor, terbuka dan bersih--bekas/hati terbaik untuk terima hidayah
d.  Maka hanya hati yang tidak bocor, bersih dan terbuka mampu menjadi wadah untuk menerima hidayah.
e.  Al-Quran hanya disentuh oleh orang yang mensucikan dirinya  (al-Waqi'ah: 79)

iii.  Allah bersama orang yang bertaqwa (Muttaqin)
a.  Al-Nahl: 128--Sesungguhnya, Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang beraml soleh
b.  Al-Baqarah: 194--...Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertaqwa
c.  At-Tawbah: 36, 123--...Dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yang bertaqwa

iv.  Taqwa adalah kunci amal diterima
a.  Amalan yang berasaskan taqwa sahaja yang diterima oleh Allah
b.  Contoh:  Ibadah Qabil dan Habil--Allah menerima ibadah  Habil kerana ia telah dilakukan dengan penuh taqwa
c.  Al-Maidah: 27--...Dia (Habil) berkata, "Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertaqwa."

v.  Taqwa adalah syarat mendapat syurga
a.  Hanya orang yang bertaqwa layak masuk ke syurga.
b.  Tahap ketaqwaan manusia adalah berbeza--maka tempat mereka di syurga juga mengikut tahap ketaqwaan.  Semakin tinggi tahap ketaqwaan maka semakin tinggi tempat mereka di syurga
c.  Anak/cucu yang berada di aras tinggi di syurga boleh menarik ibubapa/datuk meraka yang berada di aras bawah di syurga
d.  Terlalu banyak ayat Al-Quran berkaitan hal ini.  Di antaranya:  Al-Qalam: 34; Al-Qamar: 54; Maryam: 63;  Ar Ra'd: 35 

vi.  Taqwa adalah tolak ukur (standard) kebaikan/kejayaan
a.  Orang yang berjaya di dunia dan akhirat adalah orang yang bertaqwa  
b.  Hanya Allah yang berhak menerima/menilai kebaikan yang dilakukan oleh manusia,  oleh itu manusia tidak boleh menentukan amalan seseorang diterima Allah dengan mengatakan "InsyaAllah amalan kamu diterima Allah"
c.  Al-Baqarah: 189--"...bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."

vii.  Taqwa bekalan terbaik
a.  Sebaik-baik bekalan adalah taqwa, bukan harta benda atau yang lain
b.  Al-Baqarah: 197-- ...dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan  adalah taqwa...."

viii.  Taqwa adalah syarat untuk menjadi kekasih Allah
a.  Allah sangat mencintai orang yang bertaqwa
b.  Oleh itu untuk meraih cinta Allah hendaklah kita menjadi orang yang bertaqwa
c.  At-Tawbah: 4, 7--  ...Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.



B.  AYAT KATEGORI IMPARATIF

Di dalam Quran terdapat 81 ayat imperatif berkaitan taqwa:  i.  56 ayat Madaniyyah (70%)--ayat berkaitan applikasi taqwa  ii. 25 ayat Makkiyyah (30%)--ayat berkaitan teori taqwa.  Ini menunjukkan bahawa permasalahan syariah yang bersifat implementatif lebih mendominasi berbanding permasalahan akidah yang bersifat konseptual.  Jika 10% daripada 81 ayat diambil sebagai sampel untuk dianalisis, maka akan ditemukan 5 topik perbincangan:

1.  Menubuhkan sikap inklusiif (Hujurat: 12-13)
a.  Jauhi buruk sangka, jangan mencari kesalahan orang lain, jangan mengumpat--bertaqwalah kepada Allah
b.  Allah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal--yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang bertaqwa
c.  Maka hiasilah diri dengan akhlak yang baik dan saling berkenalan antara satu dan yang lain.
d. Applikasi taqwa dalam ayat ini:   Jalinlah Ukhuwwah Insaniyah--ukhuwwah sesama manusia.  Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang pandai bertaaruf sesama manusia di semua peringkat
e.  Islam bersifat inklusif--terbuka kepada semua manusia.  Manusia adalah tangga untuk kita masuk syurga.

2.  Pembentukan mentaliti taqwa (Al-Anfal:  1)
a.  Harta rampasan perang itu milik Allah dan RasulNya (menurut ketentuan Allah dan RasulNya),  maka bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesamamu....
b.   Allah menganjurkan supaya memperbaiki hubungan di antara mereka (kaum Muhajirin dan Ansar) untuk membersihkan hati -- bertaqwa
c.  Apabila  mereka bertaqwa, mereka akan taat kepada perintah Allah dan RasulNya--dalam konteks ayat ini perintah pembahagian harta rampasan perang
d.  Applikasi taqwa dalam ayat ini:  Jalinlah Ukhuwwah Islamiyyah--ukhuwwah sesama orang Islam

3.  Taqwa penyelamat kehidupan (Ali Imran: 102-103)
a.  Jangan mati kecuali dalam keadaan muslim--berpegang teguhlah kepada tali (agama) Allah, jangan kamu bercerai-berai, ingatlah nikmat Allah....
b.  Applikasi taqwa dalam ayat ini:  Berpeganglah kepada Quran dan Sunnah.  
c.  Hargailah perbezaan pendapat Mazhab bagi hukum/nas yang tidak jelas dalam Quran.  Bagi ayat yang jelas (qat'i)  semua mazhab bersetuju--tiada perbezaan pendapat
d.  Maka tuntutlah ilmu terutamanya berkaitan agama supaya kita termasuk dalam golongan orang yang beriman dan seterusnya bertaqwa--mati dalam keadaan muslim.

4.  Menumbuhkan sifat futuristik (Al-Hasyr: 18-19)
a.  Hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah....
b.  Janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehingga Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri....
c.  Applikasi taqwa dalam ayat Hasyr 18-19--Orang Islam hendaklah bersikap futuristik--sentiasa merancang ke depan apakah amalan yang perlukan dilakukan untuk bekalan ke akhirat.  Awas dengan watak asal manusia --lalai--maka perangilah watak ini.  Jangan kita melalaikan kewajipan kita untuk beramal sehingga kita melupakan Allah
d. Oleh itu hendaklah kita muhasabah diri--apa yang kita lakukan hari ini hendaklah lebih baik dari semalam.  Jadilah orang yang beruntung (amal hari ini lebih baik dari semalam), bukan orang yang merugi (amal hari ini sama dengan semalam) atau menderita (amal hari ini kurang dari semalam)

5.  Menumbuhkan sikap melindungi diri (Al-Anfal: 25; Al-Baqarah: 24, 48, 123)
  Anfal:  25--Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secar khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum)...
  Baqarah:  24--...maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-batu (berhala)....
 Baqarah:  48--Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat)....

Terminologi taqwa secara umum memiliki makna "penjagaan atau pemeliharaan diri daripada hal-hal yang merbahaya".  Terminologi taqwa ini berkembang dan mengarah lebih spesifik kepada sifat dan karakter seorang yang bertaqwa.  Jika terminologi taqwa bersambung dengan objek selain Allah, maka makna taqwa kembali kepada keumumannya iaitu "penjagaan diri daripada hal-hal yang merbahaya".  Namun jika terminologi taqwa bersambung dengan objek Allah, maka makna taqwa mengarah kepada sifat dan karakter seorang yang bertaqwa.


C.  AYAT  KATEGORI VERBAL

a.  Kosakata taqwa dalam kalimat verbal mencapai 28 ayat.  Ada 13 ayat kategori Makkiyyah, dan 15 ayat kategori Madaniyyah
b.  Ayat-ayat kategori Makkiyyah bersifat persuasif teoritis, manakala ayat-ayat Madaniyyah bersifat amal praktis
c.  Oleh kerana bersifat persuasif teoritis, ayat-ayat Makkiyyah menggunakan metod tabsyir (reward) dan indhar (punishment)  untuk mendorong manusia menjadi seorang yang bertaqwa, Muttaqin.
d.  oleh kerana bersifat amal praktis,  ayat-ayat Madaniyyah lebih mendorong pengalaman teori dan kriteria taqwa.


D.  AYAT KATEGORI INTEROGATIF

a.  Kosakata taqwa dalam kategori interogatif mencapai 16 ayat--15 kategori Makkiyah, dan 1 kategori Madaniyyah
b.  Permasalahan akidah yang bersifat konseptual lebih mendominasi dari permasalahan syariah yang bersifat implementif
c.  Pengungkapan terminologi taqwa pada ayat-ayat Makkiyyah dimaksudkan sebagai landasan kukuh ketika ia diaplikasikan dalam kehidupan nyata.


KESIMPULAN


Ternyata al_Quran sangat serius dalam membincangkan isu taqwa, dan menggesa umat manusia untuk merealisasikan prinsip-prinsip taqwa dalam kehidupan mereka.  Tujuannya ialah untuk menyelamatkan mereka dalam menjalani kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.  Taqwa merupakan bukti nyata keimanan sejati manusia yang datang melalui proses dan sentiasa memerlukan pemupukan sepanjang hayat.